JOHOR BAHRU - Tiada perpecahan besar diramalkan berlaku dalam kalangan ahlinya selepas berakhirnya pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang akan berlangsung pada Jumaat.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ahli parti akan kembali bersatu demi menyokong Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan agenda reformasi di peringkat Persekutuan.
Katanya, suasana pemilihan kali ini lebih terkawal berbanding ‘kepanasan’ dan ‘ketajaman’ yang berlaku pada Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka yang disifatkan sebagai paling buruk dalam sejarah parti.
“PKR sudah melalui zaman perpecahan akibat pengkhianatan yang menjadi antara detik paling gelap parti ini. Namun, kita berjaya bertahan dan akhirnya menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Justeru, saya tidak jangka pemilihan kali ini akan separah sebelum ini kerana tiada pengkhianatan seburuk apa yang berlaku ketika Langkah Sheraton.
“Saya percaya perpaduan dalam kalangan ahli akan kembali selepas pemilihan ini,” katanya.
**media[3136285]**
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Taklimat Media sempena Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, memberi amaran bahawa perbalahan dalaman berpotensi menghancurkan parti dalam tempoh lima hingga 10 tahun, dan menggesa semua ahli merapatkan barisan sebaik pemilihan selesai.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kepemimpinan parti akan segera turun ke akar umbi untuk mengukuhkan perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Dalam tempoh sebulan dua selepas pemilihan ini, pimpinan akan turun ke cabang dan negeri bagi merapatkan saf, mengeratkan semula silaturahim umpama biduk lalu kiambang bertaut.
“Parti juga akan mencari ruang dan peranan sesuai untuk calon yang bertanding tetapi tidak menang, supaya kekuatan mereka terus digembleng di peringkat pusat,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan bahawa suasana dalaman parti kini lebih harmoni dan kondusif, tanpa insiden besar sepanjang proses pemilihan di peringkat cabang bulan lalu.
“Saya sudah bertemu banyak cabang di seluruh negara. Kumpulan berbeza boleh duduk semeja kerana mereka mahu melihat PKR kekal bersatu dan kukuh, sekali gus memberi sokongan penuh kepada Presiden,” katanya.